Kata Alu-Aluan Yang DiPertua


Yang Mulia Tengku Tan Sri Dato’ Seri (Dr.) Ahmad Rithauddeen Bin Tengku Ismail Al Haj
(Tengku Sri Mara Raja Kelantan)

Yang Dipertua Koperasi Sri Nilam Berhad

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh,

Ucapan Syabas dan terima kasih sebagai sekalung penghargaan saya kepada semua Anggota Lembaga, anggota-anggota koperasi dan warga-warga kerja Koperasi Sri Nilam Berhad dan syukur Alhamdulillah ke hadrat Allah S.W.T kerana dengan keizinanNya saya diberi kesempatan sekali lagi pada tahun ini seperti juga pada tahun-tahun lepas untuk merakamkan kata alu-aluan sempena Mesyuarat Agung Tahunan Kali Ke-38 ini.

Tahun 2011 merupakan satu tahun yang mencabar bagi Koperasi Sri Nilam Berhad dan saya berbangga kerana koperasi dapat menangani tekanan keadaaan pasaran saham dan ekonomi global yang masih tidak menentu untuk mengekalkan atau meneruskan trek rekod pencapaian keuntungan walaupun dengan jumlah yang berkurangan jika dibandingkan dengan tahun sebelumnya. Pasaran saham di Bursa Malaysia jatuh merudum 38% yang mempengaruhi pendapatan pelaburan jual beli saham koperasi bagi tahun 2011 di samping kelewatan pelaksanaan Fasa II Projek Perumahan Taman Tengku Ahmad Rithauddeen di Melor, Kota Bharu adalah dua faktor yang menyumbangkan kepada kekurangan pendapatan koperasi bagi tahun 2011.

Dengan keuntungan yang berterusan dicapai oleh Koperasi Sri Nilam Berhad pada tiap-tiap tahun berbagai aktiviti kebajikan anggota dan keluarga anggota dan tanggungjawab sosial dapat dijalankan dan pada tahun ini bantuan khairat kematian, bantuan kepada anggota atau anak anggota melanjutkan pelajaran ke universiti atau memasuki asrama, pembayaran Tabung Dermasiswa, penebusan syer anggota, hadiah kecemerlangan peperiksaan anak-anak anggota dan lain-lain telah dilaksanakan sepertimana juga pada tahun-tahun lepas sebgaimana yang telah diperuntukkan oleh Undang-undang Kecil Koperasi. Dengan keuntungan yang telah dicapai ini juga saya difahamkan pihak pengurusan Koperasi akan mencadangkan untuk mengisytiharkan dividen kepada anggota sebanyak 2.75% berjumlah RM414,078.16 dan syer bonus sebanyak 3% berjumlah RM 436,228.70 menjadikan jumlah perolehan pendapatan kepada setiap anggota sebanyak 5.75%.

Pada 25hb. Jun 2011 Mesyuarat Lembaga Koperasi telah meluluskan satu pelan rancangan masa hadapan atau halatuju pembangunan koperasi yang dinamakan Cadangan Pembangunan Tiga Tahun Koperasi Sri Nilam Berhad. Penekanan adalah untuk diadakan satu polisi dividen yang dirangkakan agar koperasi mempunyai sumber pendapatan bersih lebih kurang RM 1.5 juta setahun untuk membayar dividen kepada anggota lebih kurang 10% setahun.

Cadangan pertama ialah Koperasi membeli lebih kurang 1,000 ekar tanah ladang kelapa sawit yang boleh memberi pendapatan bersih RM 2 juta setahun. Cadangan kedua ialah membangun tanah koperasi di Tunjong iaitu 2 lot tanah di Mukim Pendek secara pembangunan bercampur 5 unit rumah kedai 2 tingkat dan 24 unit rumah kediaman. Koperasi memerlukan pendapatanyang tetap seperti daripada penyewaan untuk menanpung perbelanjaan pentadbiran koperasi lebih kurang RM 650,000.00 setahun. Cadangan ketiga Pembangunan Tiga Tahun Koperasi Sri Nilam Berhad ialah menggunakan dana sejumlah RM 18,408,063.51 untuk dilaburkan dan apa-apa perolehan atau pendapatan yang didapati boleh dimanfaatkan oleh semua anggota koperasi.

Dalam menjalankan aktiviti-aktivitinya Koperasi Sri Nilam Berhad diurus dan ditadbirkan dengan mengamalkan pematuhan kepada undang-undang berpandukan kepada kehendak-kehendak Akta Koperasi 1993 dan Undang-Undang Kecil Koperasi serta garis panduan dan nasihat daripada Suruhanjaya Koperasi Malaysia khususnya Yang Amat Berusaha Pengarah di Negeri Kelantan. Saya juga berpuas hati dan bangga kerana setakat ini Koperasi Sri Nilam Berhad tidak terhutang atau menanggung apa-apa hutang dengan pihak luar dalam menjalankan aktiviti pelaburan atau perniagaannya.

Saya sukacita mengambil peluang ini menyeru dan mengingatkan kepada semua Anggota Lembaga melaksanakan tugas dan amanah yang dipegang dan menggandakan usaha kearah kejayaan matlamat koperasi bagi memberi lebih banyak faedah, manfaat dan kebajikan kepada anggota koperasi. Kepada semua lapisan anggota-anggota saya menyeru supaya diperkasakan lagi perpaduan sesama kita dan sentiasa memberi sokongan padu kepada koperasi semoga hasil kejayaan yang diperolehi itu dapat dinikmati oleh kita semua.

Saya berdoa kehadrat Allah SWT  semoga apa yang telah dirancang dan dilaksanakan oleh koperasi itu akan memperolehi kejayaan dan berharap pretasi koperasi bagi tahun 2012 akan lebih baik lagi dan akan memperolehi lebih kejayaan lagi pada tahun-tahun akan datang.

“SELAMAT SEJAHTERA DAN SELAMAT MAJU JAYA KEPADA SEMUA ANGGOTA SEKALIAN”

Yang Ikhlas,

Tengku Tan Sri dato’ seri (Dr.) Ahmad Rithauddeen Bin Tengku Ismail Al-Haj
PMN., SPMP., SSAP., PMK.,
Tengku Sri Mara Raja Kelantan
Tarikh : 11hb April 2012